Etika peperangan Fiqah ketenteraan Islam

Lihat juga: Etika Islam

Patricia Crone, seorang Orientalis, berkata bahawa dalam al-Qur'an, prinsip asas berkaitan pertempuran adalah puak asing harus dilayan seperti puak sendiri. Pertempuran diharuskan bagi tujuan mempertahankan diri, membantu orang Islam lain dan jika syarat-syarat perjanjian dilanggar, tetapi mesti dihentikan jika keadaan ini lenyap.[3][4][5][6] Prinsip pengampunan ditekankan di tengah-tengah kebenaran bagi mempertahankan diri.[3]

Dalam hayat baginda, Muhammad memberi banyak peraturan berkaitan pertempuran dan juga menunjukkan contoh pengendalian perang. Yang paling mustahak daripada peraturan ini diringkaskan oleh Sayidina Abu Bakar, Shahabat Nabi dan Khalifah pertama, dalam bentuk sepuluh peraturan peperangan bagi Tentera Khulafa al-Rasyidin:[7]

Wahai tenteraku! Aku berikan kamu sepuluh perkara; hayatilah dengan baik!!

Berhenti, tenteraku, agar dapat ku berikanmu sepuluh perkara buat pedomanmu di medan perang. Jangan belot atau menyimpang daripada jalan yang benar. Kamu tidak dibenarkan merosakkan jenazah. Jangan kamu bunuh kanak-kanak, atau wanita atau mereka yang sudah tua. Jangan rosakkan tumbuhan pokok, atau membakarnya, terutamanya pohon yang berbuah. Jangan bunuh binatang ternakan musuhmu, selainkan untuk dijadikan makananmu. Kamu berkemungkinan bertemu orang yang hidup sebagai rahib; biarkan mereka.[7]

Mengikut Imam al-Tabari, 'nasihat sepuluh' ini diberikan oleh Sayidina Abu Bakar semasa ekspedisi Usamah ibn Zaid.[8] Dalam Perang Siffin, Khalifah Ali bin Abi Talib menyatakan bahawa Islam tidak membenarkan Muslim memotong bekalan air kepada musuh mereka.[9] Tambahan kepada Khalifah al-Rasyidin terdapat Hadis Nabi yang menggambarkan Penaklukan Muslim terhadap Mesir yang berlaku selepas kewafatan baginda:[10]

Kamu akan memasuki Mesir, tanah di mana qirat [unit wang] diguna. Berlaku baiklah terhadap penduduknya kerana terdapat persaudaraan darah atau perkahwinan...

Hadis riwayat Muslim dan Ahmad[11][12]


Prinsip-prinsip ini dipegang oleh Amr ibn al-As semasa beliau menakluk Mesir. Seorang Kristian sezaman (abad ke-7 M), John dari Nikiu, berkata demikian tatkala penaklukan Iskandariah oleh Amr:

Pada hari ke dua puluh Maskaram, Theodore serta semua pegawai dan tenteranya keluar menuju pulau Cyprus dan meninggalkan bandar Iskandariah. pada masa itu Amr, ketua Muslim, dengan senang memasuki bandar Iskandariah. Dan para penduduk menerimanya dengan hormat; kerana mereka dalam keadaan sukar. Dan Abba Benjamin, Patriark orang Mesir, pulang ke bandar Iskandariah pada tahun ketiga belas selepas beliau melarikan diri daripada orang Rom, dan beliau pergi ke Gereja-gereja dan memeriksa kesemuanya. Dan setiap orang berkata: "Penyingkiran orang Rom dan kemenangan orang Islam ialah disebabkan kezaliman Maharaja Heraclius dan penindasannya terhadap orang Kristian Ortodoks melalui Patriark Cyrus. Inilah penyebab kejatuhan Rom dan penaklukan Mesir oleh orang Islam. Dan Amr bertambah kuat setiap hari dalam kegiatannya. Dan beliau mengenakan cukai yang telah ditetapkan, tetapi beliau tidak mengambil harta Gereja, dan beliau tidak melakukan kerosakan, atau jarah, dan beliau memelihara kesemuanya semasa hayat beliau.[13]

Prinsip-prinsip yang diasaskan oleh Khalifah-khalifah terawal juga dihormati semasa zaman perang Salib seperti ditujukkan oleh Sultan-sultan seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Al-Kamil. Misalnya, selepas al-Kamil menewaskan tentera Frank dan perang Salib, Oliverus Scholasticus memuji hukum-hakam peperangan Islam, dengan menyatakan bagaimana al-Kamil memberi bekalan makanan kepada tentera Frank:[14]

Siapa yang boleh sangsi bahawa kebaikan, persahabatan dan sifat bermurah hati datang daripada Tuhan? Orang yang bapa, anak lelaki dan perempuan, abang dan adik, maut dalam kesakitan di tangan kami, yang tanahnya diambil, yang kami halau dalam keadaan bertelanjang dari rumah, memulihkan kita dengan makanan mereka sendiri semasa kami hampir mati kelaparan dan menunjukkan sikap baik terhadap kami mahupun kami di bawah kuasa mereka.[15]

Treatis-treatis terawal Islam berkaitan undang-undang antarabangsa dari abad kesembilan ke atas merangkumi penggunaan etika Islam, jurisprudens ekonomi Islam dan perundangan ketenteraan Islam terhadap undang-undang antarabangsa,[16] dan menumpukan perhatian kepada beberapa tajuk perundangan antarabangsa moden termasuk undang-undang Triti (Perjanjian); layannan terhadap kedutaan, sandera (orang tebusan), orang pelarian, dan tawanan perang; hak mendapat suaka; Undang-undang peperangan; perlindungan kepada wanita, kanak-kanak dan orang awam yang merupakan orang bukan penempur; kontrak yang melewati baris pertempuran; penggunaan senjata beracun; dan pembinasaan wilayah musuh.[14]

Rujukan

WikiPedia: Fiqah ketenteraan Islam http://books.google.com/books?vid=ISBN1428910395&i... http://www.huffingtonpost.com/kabir-helminski/does... http://islamqa.com/index.php?ref=13241&ln=eng http://www.quranandwar.com/ http://www.understanding-islam.com/related/sscateg... http://wolfpangloss.files.wordpress.com/2008/02/ma... http://www.rissc.jo/index.php/english-publications... http://www.iium.edu.my/deed/hadith/bukhari/index.h... http://www.iium.edu.my/deed/hadith/muslim/031_smt.... http://www.iium.edu.my/deed/hadith/muslim/index.ht...